Di akui makin ramai wanita moden semakin melupakan amalan berpantang yang di anggap remeh dan merumitkan.
Aspek penjagaan diri ibu-ibu selepas bersalin seperti amalan berurut, bertuam, bertungku, bertangas dan juga berbengkung adalah remeh dan berpantang itu sendiri amat membosankan kerana ia memakan masa yang agak lama.
Memang tidak dinafikan amalan berpantang agak remeh tetapi kesan dan hasil daripada berpantang ini adalah berpanjangan dan sangat membantu kepada kesihatan si ibu.
Sekiranya penjagaan sewaktu berpantang diabaikan, kesannya tidak berlaku serta merta tetapi apabila melalui kelahiran yang banyak, usia mula meningkat, tenaga semakin menurun barulah terasa kebas-kebas, lenguh, sakit urat, bisa badan dan kebas tangan dan kaki.
Apabila ini berlaku , kebanyakannya akan menjadi dingin dan lemah tenaga batin.
Banyak perkara yang boleh dibincangkan dalam amalan berpantang ini ;
1) Kesihatan
Adalah tidak digalakkan melakukan hubungan seks dalam masa 6 minggu selepas kelahiran, Doktor mengatakan bahawa si ibu baru sahaja melalui proses bersalin yang menyakitkan dan memerlukan masa untuk sembuh, selain itu memberi masa kepada kemaluan untuk sembuh sepenuhnya apatah lagi yang mempunyai luka episiotomy.
2) Ikan
Ibu didalam pantang adalah dilarang untuk memakan ikan kering atau ikan masin untuk mengelakkan dari darah nifas berbau busuk dan melemahkan daya ketahanan fizikal dan mental. Ilmu kebidanan menggalakkan memakan ikan segar. Elakkan ikan berbisa seperti bawal hitam, terubuk duir, pari, sembilang serta parang kerana takut akan menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Selain dari itu ikan yang menyebabkan kegatalan juga seperti ikan kembung, tamban, cencaru atau tongkol serta makanan laut seperti sotong dan udang adalah tidak digalakkan.
Ikan yang syorkan kepada para ibu adalah ikan haruan dan yu. Ini kerana ia mampu menyembuhkkan luka dalaman dan luaran. Ia mempunyai mineral yang tinggi bagi menyembuhkan luka.
3) Ulaman Dan Sayuran
Ulam yang berkhasiat dan sesuai dimakan oleh ibu berpantang adalah seperti pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, daun lemuni hitam, daun sekentut, daun cemumar, daun kari, daun pudina, daun bebuas dan daun ruku.
Ibu berpantang dilarang memakan daun-daun yang menjalar, sejuk dan berangin seperti kangkung, timun, keladi, pucuk ubi, pucuk paku, bayam, sayur atau daun keti (bunga putih) kacang panjang, petola, labu, rebung , kacang botol, jeruk maman, petai, jering serta terung.
Elakkan minuman bergas, sejuk serta tajam seperti air tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, tembikai, nangka dan cempedak, pisang, ubi, sengkuang dan manggis.
Ini untuk mengelakkan dari sakit tulang, lemah otot dan sakit sendi.
4) Emosi
Ibu yang baru melahirkan anak kerap mengalamai tekanan jiwa dan emosi disebabkan hormon yang tidak stabil. Tekanan ini wujud sejak dari mengandung berterusan sehingga melahirkan. Tekanan mental dan fizikal mempunyai kesan yang kuat terhadap jiwa dan emosi si ibu.
Akibat daripada tekanan ini, sebahagian daripada wanita mengalami masalah kemurungan(depression) atau yang lebih buruk lagi mengalami masalah sakit jiwa (puerperal psychosis)
Tekanan jiwa dan emosi boleh dielakkan dengan memberi sokongan moral dan nasihat daripada orang yang penting di dalam hidupnya seperti suami dan ibu. Berilah sokongan fizikal dan mental kepada si ibu supaya dapat meringankan beban yang harus digalasnya.
5) Berbengkung
Mengikut ilmu perbidanan, kegunaan bengkung adalah untuk mengelakkan kemasukan angin sejuk diliang-liang perut. Ia dapat mengeluarkan angin panas dan kotor dengan ikatan barut dan ubat yang sempurna.
Bengkung yang baik adalah dari paras bawah dada hingga ke bawah pinggul, ia dapat memberikan sokongan yang kukuh untuk rahim.
Ketika dalam pantang bengkung seelok-eloknya dipakai selama 44 hari sehingga habis tempoh berpantang. Pemakaian bengkung dapat mengembalikan bentuk badan kepada bentuk asal dengan lebih cepat.
6) Urutan Tradissional
Urutan yang baik membantu memulihkan aliran darah, mencuci dan mengeluarkan darah, angin serta lendir yang kotor dan melawaskan nifas daripada tersekat atau tersumbat.
Urutan dapat menenangkan emosi, meringankan tubuh badan yang lesu dan melegakan bisa otot dan sendi.
7) Minum air akar kayu dan jamu
Semasa tempoh berpantang ibu digalakkan meminum air akar kayu dan jamu untuk menyihatkan badan serta mengembalikan kesegaran ibu. Ia membantu mengecutkan Rahim secara rawatan dalaman.
8) Mandi mandian daun herba
Dalam tempoh 2 minggu pertama selepas melahirkan, badan si ibu masih lemah dan tidak bermaya, adalah amat digalakkan untuk mandi air rebusan daun herba.
Ini kerana terdapat banyak khasiat yang kita ketahui mandi mandian daun herba ini antaranya untuk ;
Membantu menyegarkan, merawat dari kelesuan dan ketidakselesaan badan
Melancarkan peredaran darah, megembalikan aura postif dan tenang
Mengurangkan sengal-sengal dan bisa badan
Membuang angin yang berlebihan dalam badan
Melembutkan urat yang tegang akibat dari proses bersalin
Menghilangkan bau badan dan menyamankan kulit.
Pelbagai amalan berpantang yang baik dan elok dilakukan ketika berpantang. Ia merupakan amalan yang mesti dilakukan bagi masyarakat melayu sejak dari dulu lagi dan menjadi tradisi turun temurun. Amalan berpantang menjadi persediaan badan nanti supaya masih sihat dan bertenaga.
Semoga ia masih berkekalan hingga nanti..